Monday, July 9, 2018

Kajian Laras Resepi


Kajian Laras Resepi

1.0         Pendahuluan
Laras merupakan konvensi sosial dan sesuatu laras digunakan untuk sesuatu situasi. Dari aspek yang lain pula, dapat dikatakan bahawa dengan memilih laras yang berlainan untuk situasi-situasi yang berbeza, ahli-ahli masyarakat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi sosial yang berlainan dan wujud di sekitar mereka. Jumlah laras yang wujud dalam sesebuah masyarakat bahasa menunjukkan bahawa pengalaman bahasa masyarakat tersebut agak baik. Ini kerana kemunculan laras-laras bahasa adalah selari dengan kewujudan situasi-situasi  penggunaan bahasa.

Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang diperkatakan dalam situasi yang berlainan. Akibatnya, akan wujud penggunaan variasi bahasa yang berbeza-beza tanpa disedari oleh anggota masyarakat. Perbezaan ini lahir daripada fakta yang bertutur, tajuk yang diperkatakan ataupun dibincangkan, tujuan perbincangan dan juga suasana atau keadaan penggunaan bahasa itu sendiri. Dalam konteks bahasa Melayu kini proses pembinaan dan pengembangannya telah melahirkan sejumlah besar laras sejak zaman lampau lagi.
 Konsep laras telah mendapat perhatian di kalangan ahli-ahli bahasa, khususnya mereka yang terlibat dengan kajian sosiolinguistik. Mereka mula menyedari bahawa dalam kajian yang dilakukan oleh mereka tanpa mengaitkan masyarakat akan mengetepikan beberapa aspek penting dan menarik serta mungkin menyempitkan pandangan mereka terhadap bahasa itu sendiri.

Kajian pertama dilakukan oleh Malinowski (1923) dan seterusnya dikembangkan oleh Firth. Beliau melakukan kajian di gugusan pulau Pasifik Selatan atau lebih dikenali sebagai Kepulauan Trobriand. Dalam kajian yang dilakukan, beliau mendapati bahawa dalam kehidupan ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat, bahasa menggambarkan perlakuan dan menjelaskan masyarakat serta fungsi-fungsi emotif kesedaran tentang komunikasi phatik. Beliau juga mendapati bahawa dalam kajian ini bahasa tidak boleh dilihat dalam bentuk yang terasing daripada konteks sosial dan kepentingan makna bagi sesyuatu ujaran itu didapati dalam penggunaan dan kedudukannya.

2.0       Definisi Laras: Laras didefinisikan sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan sehari-harian mereka. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung pada keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung. Misalnya, dalam sesuatu peristiwa bahasa itu, tentulah pemeran mempunyai rakan atau orang lain yang diajak bercakap atau lebih dikenali dengan konsep siapa yang bercakap, tajuk ataupun perkara yang diperkatakan atau dibincangkan, suasana perbualan itu berlangsung sama ada secara formal atau tidak formal dan penggunaan medium sama ada secara lisan ataupun tulisan.

            Berdasarkan perkara-perkara inilah beberapa orang pengkaji telah mengemukakan pandangan mereka tentang laras. Nik Safiah Karim  (1982:1) misalnya menyatakan laras seperti yang berikut:

                        Laras atau register bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Jumlah laras wujud dalam sesuatu masyarakat kerana kemunculan laras bahasa selari dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks, bidang dan peringkat sosial.


            Beliau mengaitkan laras dengan pemilihan bahasa berdasarkan konteks, bidang yang diperkatakan dan juga peringkat sosial. Menurut beliau lagi, laras sesuatu bahasa yang digunakan itu adalah selari dengan kewujudan situiasi-situasi penggunaan bahasa. 

            Menurut Asmah Hj.Omar (1984:92) pula, laras bahasa adalah kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang, seperti bidang ilmu dan bidang sosial. Menurut beliau lagi, bahasa yang digunakan dalam bidang keilmuan tertentu memperlihatkan beberapa perbezaan daripada bahasa yang digunakan dalam ilmu yang lain. Perbezaan yang wujud bukanlah perbezaan sistem bahasa tetapi kesukaran wujud dalam pemahaman konse-konsep yang didukung oleh istilah-istilah tertentu atau khusus yang digunakan dalam ilmu berkenaan.  Beliau menekankan bahawa laras yang berlainan yang digunakan bukannya pada sistem bahasa tetapi hanya pada kata-kata tertentu yang digunakan dalam laras.

Seorang lagi pengkaji tempatan yang menyentuh tentang laras ialah Abdullah Hassan. Menurut beliau, laras ialah pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteks. Sesuatu laras yang sesuai digunakan adalah pengolahan bahasa yang baik, ada hubungan antara isi dengan perkara yang diperkatakan dalam laras. Menurut beliau (1989: 26):

Pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu adalah sesuatu yang dikatakan laras bahasa. Pemakaian laras bahasa yang sesuai itu adalah dianggap pengolahan bahasa yang baik. Ada hubungan rapat antara isi, perkara yang dibincangkan dengan laras bahasa yang digunakan untuk membincangkannya.


         Di kalangan pengkaji-pengkaji barat, banyak sekali konsep dan definisi yang dikemukakan oleh mereka tentang laras. Laras ataupun register pertama kalinya telah digunakan oleh Reid (1956) untuk menjelaskan perbezaan perlakuan bahasa seseorang individu  tetapi kajian yang dilakukan oleh Malinowski dianggap sebagai kajian terawal yang berkaitan dengan konsep laras bahasa. Ini kerana beliau telah melakukan kajian di gugusan Pulau Pasifik Selatan, iaitu di Kepuluan Trobrian. Dalam kajian yang dilakukan itu, beliau telah cuba menterjemahkan teks-teks dalam bahasa Kiriwinia yang diperoleh daripada kajiannya itu ke dalam bahasa Inggersi tetapi tidak dapat difahaminya.

         Kajian beliau yang berkaitan dengan ujaran manusia dan hubungannya dengan masyarakat memperlihatkan hubungan antara ujaran manusia dengan konteks bahasa yang dilafazkan. Kajian beliau penting dari sudut fungsi bahasa kerana beliau beranggapan  bahawa bahasa lebih merupakan pola pelakuan dan bukannya satu tindak balas berfikir.  Beliau berpendapat bahawa ujaran-ujaran hanya akan bermakna jika dilafazkan dalam konteks tertentu dan makna bagi sesuatu perkataan akan ditentukan sendiri oleh konteks ujaran berkenaan. Sekiranya perkataan yang sana digunakan dalam konteks yang berlainan, maka makna ujaran tersebut juga akan berbeza.

         Pendapat Malinowski ini kemudiannya dikembangkan oleh pengikutnya J.R.Firth yang kemudiannya meluaskan konsep yang digunakan oleh Malinowski itu. Halliday (1973:49) misalnya, menganggap bahawa teori keperihalan keadaan ini sebagai suatu titik permulaan bagi kajian bahasa dan sosial. Ini kerana konsep tersebut merupakan suatu kajian terhadap bentuk potensi pelakuan manusia dalam sesebuah masyarakat bahasa. Lama-kelamaan kajian ini akhirnya dikenali sebagai kajian laras bahas ataupun register dan  tergolong dalam bidang sosiolinguistik. 

         Halliday (1968:149) kemudiannya mendefinisikan laras sebagai variasi bahasa yang berdasarkan fungsi. Menurut beliau:

Language varies as its functions varies, it differ is different situation. The name given to the varietry of language distinguished according to its use is register.


Quirk dan Greebaum (1973), dalam membicarakan variasi-variasi bahasa Inggeris pula, telah menurunkan enam jenis utama (masing-masing dengan subjenisnya pula) berdasarkan  faktor-faktor penentu laras seperti yang berikut, iaitu daerah, pendidikan dan kedudukan sosial, tajuk yang diperkatakan, cara penyampaian, sikap dan juga gangguan. Kesemua faktor ini menghasilkan ciri-ciri tertentu dalam penggunaan bahasa yang memisahkannya daripada variasi yang lain. Setiap satunya pula mempunyai ciri-ciri tersendiri dan jenis ataupun variasi golongan terpelajar biasanya mengandungi struktur tersendiri yang digunakan dalam situasi tertentu dan mencerminkan latar belakang tertentu pula. Variasi kelas tertentu dalam sesebuah masyarakat, menurut mereka, akan memperlihatkan penggunaan bahasa yang tidak sama dengan ciri-ciri daripada golongan yang lain.

         Pada tahun 1985 Halliday mengutarakan pendapat yang menyatakan bahawa dialek dan laras mempunyai perbezaan yang jelas. Dialek pada dasarnya berbeza dari segi isi manakala laras berbeza dari segi bentuknya. Ukuran utama sesuatu laras itu dapat dilihat berdasarkan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan. Beliau telah menjeniskan laras bahasa berdasarkan tiga faktor yang utama, iaitu:

a)    tajuk wacana ( field of discourse)
b)    cara penyampaian wacana ( mode of discourse)
c)    gaya wacana ( style of discourse)

Pada dasarnya laras bermaksud bahasa yang dituturkan, yang berubah dan bersesuaian dengan situasi sosial yang kita hadapi. Sesuatu situasi itu bukan sahaja membantu bagi menentukan apa yang kita ujarkan malah ia menentukan bentuk bahasa yang akan kita gunakan. Sesuatu laras itu akan wujud dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan sesuatau bahasa itu.

Berdasarkan penjelasan beberapa orang tokoh yang mengkaji laras, sama ada pengkaji tempatan mahupun pengkaji barat, dapat dirumuskan bahawa laras ialah variasi bahasa yang berbeza-beza bentuk dan penggunaanya. Laras berdasarkan situasi tertentu dan juga bidang tertentu yang diperkatakan oleh anggota masyarakat.

3.0       Pendekatan Kajian Laras: Ramai pengkaji telah melakukan kajian mereka terhadap laras dan telah mengemukakan pelbagai pandangan dan    pendekatan. Dalam bahagian ini akan dibincang tiga pendekatan yang sering digunakan dalam kajian laras, iaitu pendekatan yang digunakan oleh Halliday (1968), Ure dan Ellis (1977) dan Leech dan Short (1981).

a)    Pendekatan Halliday (1968)
Halliday melihat laras sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh anggota masyarakat berdasarkan situasi yang berlainan. Menurut beliau apabila sesuatu laras bahasa itu digunakan, seseorang itu dapat memahami sesuatu fungsi peristiwa bahasa dan ini menyebabkan bahasa yang digunakan memberi kesan kepada penuturnya.  Oleh yang demikian, beliau beranggapan bahawa kelainan peristiwa bahasa akan menentukan sesuatu laras bahasa yang digunakan oleh seseorang penutur itu. Beliau telah menyenaraikan tiga aspek yang berkaitan dengan laras apabila kajian laras dilakukan. Aspek-aspek tersebut adalah seperti yang berikut:

a)    tajuk wacana
b)    saluran
c)    gaya wacana

Tajuk wacana merujuk pada bidang yang sedang diperkatakan ataupun dibincangkan oleh pemeran. Tajuk merangkumi topik ataupun subjek yang diperkatakan oleh mereka yang berbual. Berdasarkan tajuk wacana yang dibincangkan, akan dapat dikenal pasti penggunaan perbendaharaan kata yang digunakan dalam sesuatu perbualan itu. Aspek kosa kata ataupun perbendaharaan kata merangkumi kata-kata teknikal ataupun kata-kata umum yang digunakan dalam perbealan tersebut.

Saluran ialah cara sesuatu mesej itu disampaikan dan merujuk pada bahasa yang digunakan dalam lakuan bahasa yang mempunyai hubungan dengan peranan yan dimainkan oleh lakuan bahasa dalam situasi tertentu. Dalam saluran yang digunakan untuk berinteraksi, saluran boleh berbentuk lisan ataupun bentuk tulisan. Setiap bentuk ini mempunyai ciri-ciri tertentu untuk menyampaikan sesuatu mesej itu.

Gaya wacana pula merujuk pada hubungan antara pemeran yang terlibat dalam sesuatu peristiwa bahasa. Gaya wacana boleh bersifat gaya formal atau tidak formal. Gaya formal misalnya melibatkan hubungan sosial yang tidak intim manakala gaya tidak formal bersifat sebaliknya.

Ketiga-tiga aspek ini menurut Halliday, mempunyai perkaitan dan saling bertindih. Oleh yang demikian, beliau melihat ciri-ciri laras berdasarkan aspek leksikal dan aspek tatabahasa.

b) Pendekatan Ure & Ellis (1977)
Mereka melihat kepentingan peristiwa bahasa sebagai fokus utama dalam kajian sesuatu laras itu. Menurut mereka setiap penggunaan bahasa memerlukan satu situasi sosial ataupun peristiwa bahasa. Oleh yang demikian, mereka menamakannya sebagai ciri-ciri keperihalan dan ciri-ciri linguistik yang wujud dalam sesuatu penggunaan bahasa itu.

Ciri-ciri keperihalan ialah ciri-ciri luaran yang terdapat dalam sesuatu peristiwa bahasa dan mereka telah membahagikan ciri kerihalan ini kepada dua bahagian, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran. Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan budaya sesebuah masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup masyarakat yang menentukan pelakuan anggota masayarakat. Situasi persekitaran pula mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa dan, menurut mereka, situasi persekitaran terangkum di dalamnya empat aspek penting seperti yang berikut:

i)             cara penyampaian
ii)            hubungan sosial dan peribadi
iii)           bahan yang diperkatakan
iv)           fungsi sosial perlakuan bahasa

Cara penyampaian merujuk pada jenis-jenis bahasa yang digunakan seperti bentuk lisan, tulisan, isyarat ataupun sebagainya, pemeran-pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa dan juga jangka masa yang diambil bagi penggunaan bahasa  itu. Bahasa tulisan misalnya dapat mewujudkan ratusan variasi seperti laras ucapan, laporan, ilmiah dan sebagainya. Perkara-perkara ini berkaitan pula dengan faktor-faktor seperti siapa yang menulis, kepada siapa tulisan tersebut ditulis ataupun ditujukan, dan tulisan tersebut tentang apa. Latar belakang seseorang penulis juga boleh menyebabkan perbezaan pada cara penghasilan sesuatu laras itu. 

Perhubungan sosial dan peribadi ialah hubungan yang wujud antara seseorang pemeran dengan pemeran yang terdapat dalam sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Dalam hal ini terdapat dua aspek yang berkaitan, iaitu yang melibatkan hubungan peribadi dan yang keduanya hubungan yang tidak rasmi ataupun bersifat formal. Dalam hubungan yang bersifat peribadi akan wujud hubungan mesra antara pemeran-pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa itu. Misalnya, peristiwa bahasa yang melibatkan perbualan dua orang sahabat, sepasang kekasih ataupun antara ahli-ahli keluarga. Perhubungan yang tidak rasmi ataupun formal tidak akan memperlihatkan kemesraan kerana terdapat jurang sosial antara kedua-dua pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa. Misalnya, hubungan antara penulis akhbar dengan pembaca akhbar, antara majikan dengan pekerja ataupun antara penulis novel dengan pembaca novel.

Bahan yang diperkatakan ialah isi yang diperkatakan atau dibincangkan dalam sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Bahan boleh melibatkan isi-isi yang biasa dalam kehidupan seharian sehinggalah pada bidang-bidang yang lebih khusus sifatnya seperti bidang sains dan teknologi. Pendek kata, isi-isi yang diperkatakan dalam peristiwa bahasa merupakan bahan dalam sesuatu laras. Setiap bahan mempunyai perbezaan yang berlainan antara satu sama lain dan bergantung pada perkara yang diperkatakan oleh pemeran.

Fungsi sosial perlakuan bahasa:  Dalam bahagian ini terdapat dua perkara penting yang digabungkan dalam satu frasa seperti yang di atas. Pertama, ialah frasa fungsi sosial dan yang keduanya ialah perlakuan bahasa. Kedua-dua frasa ini mempunyai hubungan yang erat dan saling berkaitan antara satu sama lain. Fungsi sosial ialah bentuk-bentuk majlis ataupun upacara yang berupa amalan anggota sesebuah masyarakat dan diiktiraf oleh mereka sebagai penting dan menjadi amalan budaya hidup masyarakat berkenaan. Misalnya, dalam masyarakat Melayu majlis perkahwinan merupakan salah satu daripada fungsi sosial yang menjadi amalan sejak zaman berzaman lagi. Majlis kenduri tersebut merupakan fungsi sosial dan anggota masyarakat mengiktirafnya sebagai majlis yang penting. Dalam fungsi sosial tersebut akan terdapat lakuan bahasa yang menjadi inti utama majlis tersebut, iaitu majlis akad nikah pengantin lelaki. Dalam majlis tersebut akan wujud lakuan bahasa yang berupa kata-kata yang perlu dilafazkan oleh pihak yang terlibat dalam pernikahan yang dilakukan.

Dalam majlis pernikahan, imam ataupun jurunikah akan menggunakan kata-kata yang sesuai atau lebih dikenali sebagai akad dan pengantin lelaki pula akan menjawabnya sebagai  tanda penerimaan. Kata-kata yang dituturkan oleh jurunikah dan pengantin lelaki inilah yang dikatakan sebagai lakuan bahasa. Lakuan bahasa ini hanya berlaku dalam majlis akad nikah sahaja dan tidak boleh dibuat secara sembarangan sahaja. Oleh yang demikian, lakuan bahasa hanya akan wujud apabial adanya peristiwa bahasa yang berlangsung. Setiap lakuan bahasa yang lahir daripada peristiwa bahasa tidak sama dan bergantung pada jenis peristiwa bahasa yang berlaku.

Aspek kedua yang diperkatakan oleh Ure & Ellis tentang laras ialah ciri-ciri linguistik dalam laras bahasa. Menurut mereka tiga aspek penting yang perlu dibincangkan dalam ciri ini ialah :

a)    aspek kosa kata
b)    aspek ayat
c)    aspek ketenunan

Dalam aspek kosa kata, perkara utama yang diberikan tumpuan ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras, sama ada laras yang diperkatakan itu banyak menggunakan istilah khusus atau istilah umum ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung. Sekiranya sesuatu laras itu banyak menggunakan istilah, akan wujud istilah-istilah yang berlainan berdasarkan bidang yang diperkatakan oleh laras tersebut. Di samping itu, terdapat juga sesetengah laras yang menggunakan kata-kata pinjaman asing atau sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata segala aspek yang berkaitan dengan kata akan dibincangkan untuk membuktikan bahawa sesuatu laras itu menggunakan kata-kata tertentu yang berbeza daripada laras yang lain.

Dalam aspek ayat penekanan ialah pada jenis ayat dan juga binaan ayat yang digunakan dalam sesuatu laras. Sesetengah laras menggunakan banyak ayat majmuk dan kurang ayat tunggal manakala laras yang lain pula proses pengguguran, dan  penyongsangan ayat pula berlaku. Oleh itu, dalam aspek ayat segala perkara yang berkaitan dengan jenis dan binaan ayat akan dibincangkan sebagai ciri sesuatu laras itu.
Aspek ketenunan ialah keutuhan sesuatu laras sebagai sebuah teks dan  berkaitan dengan unsur-unsur tertentu yang digunakan oleh pemeran dalam sesuatu laras. Sesetengah laras mempunyai kesatuan isi yang utuh manakala laras yang lain pula kurang utuh dari segi jalinan idea yang disampaikan.

c) Pendekatan Leech & Short (1981) : Pendekatan yang digunakan oleh mereka tidak banyak bezanya dengan pendekatan yang digunakan oleh Ure & Ellis.  Perbezaannya terletak pada bahagian tatabahasa dan juga leksikal serta tambahan pada bahagian keindahan bahasa yang digunakan dalam laras. Leech & Short membincangkan empat aspek dalam kajian laras. Menurut mereka, gaya persembahan sesebuah laras dilihat sebagai suatu cara untuk membezakan antara satu laras dengan laras yang lain. Dalam kajian mereka tentang laras fiksyen dalam bahasa Inggeris mereka telah mengemukakan keempat-empat aspek seperti yang berikut:

i)             tatabahasa
ii)            leksikal
iii)           gaya/keindahan bahasa
iv)           ketenunan dan konteks

Aspek tatabahasa merangkumi aspek sintaksis dan juga morfologi yang dilihat sebagai satu unsur penggunaan bahasa dalam laras. Unsur penggunaan kata seperti bentuk kata formal dan tidak formal, kata kata khusus dan kata umum akan diberikan tumpuan dalam bahagian tatabahasa.

Aspek leksikal pula ditumpukan pada penggunaan  kata-kata pinjaman serta kewujudan unsur-unsur dialek dalam sesebuah laras yang dibuat kajian.selain itu mereka juga menyentuh pemilihan diksi dan istilah yang melibatkan berbagai-bagai jenis makna juga dilakukan.

Gaya bahasa merupakan salah satu daripada unsur keindahan yang terdapat dalam kerangka kajian laras yang dilakukan oleh Leech & Short. Menurut mereka penggunaan unsur-unsur gaya bahasa akan menimbulkan kesan positif dan menarik kepada pembaca dan juga pendengar. Tumpuan biasanya diberikan pada bentuk-bentuk penyimpangan bahasa sebagai suatu gaya tersendiri yang digunakan oleh seseorang penulis.

Leech & Short melihat aspek ketenunan atau kohesi dan konteks dalam kajian laras kerana, menurut mereka kedua-dua aspek ini mempunyai perkaitan secara langsung antara penulis dengan pembaca. Keadaan ini akan mengakibatkan penggunaan laras yang berbeza-beza. Menurut mereka, kesinambungan dalam bahasa merupakan jalinan fikiran untuk menjadikan sesuatu laras itu sebagai suatu kesatuan yang utuh yang dinamakan sebagai kohesi dan koherensi. Penulis boleh mempengaruhi pembaca dengan mengemukakan aspek kohesi dan konteks yang kukuh dan bersepadu.

            Pendekatan pelbagai yang diutarakan oleh para pengkaji sebenarnya hampir sama sahaja tetapi keterperinciannnya sahaja yang berlainan. Sesetengah pengkaji menggunakan pendekatan yang mudah dan bersahaja, tetapi yang lain, sebaliknya. Dalam kertas kerja ini pendekatan yang digunakan untuk membincangkan laras resepi adalah berdasarkan pendekatan Ure dan Ellis, kerana teori yang dikemukakan oleh mereka mencakupi banyak aspek luaran  yang berkaitan dengan teks yang tidak ada dalam teori pengkaji-pengkaji lain.

4.0       Asal Usul Laras resepi
Laras resepi merupakan salah satu daripada laras moden yang terdapat kini tetapi ramai tidak menyedari hakikat kehadiran laras ini dalam masyarakat. Laras resepi dari segi sejarahnya telah wujud sejak zaman lampau tetapi tidak dikodifikasikan atau ditulis tetapi hanya disampaikan daripada seorang tukang masak kepada orang lain. Dalam sesebuah keluarga, ibu akan mewariskan cara-cara memasak sesuatu jenis resepi kepada anak-anak dan anak-anak pula mewarisinya dan seterusnya mengajarnya pula kepada generasai yang lain. Secara tidak langsung laras resepi berkembang dan dalam zaman moden ini pelbagai resepi moden telah mempengaruhi masyarakat untuk menyediakannya demi keperluan keluarga ataupun untuk tujuan komersial.

Kelahiran laras resepi pada zaman moden ini bukan sekadar untuk keperluan keluarga seperti zaman tradisional tetapi terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhinya, seperti resepi untuk tujuan perniagaan, seperti di hotel-hotel dan warung-warung serta untuk tujuan-tujuan lain. Ini telah menyebabkan berlaku pelbagai perubahan pada cara memasak sesuatu jenis resepi, alat-alat yang digunakan untuk memasak, sukatan ataupun timbangan terhadap bahan-bahan memasak dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk memasak makanan.

Pada zaman lampau/tradisional, makanan yang disediakan lebih bersifat kekampungan seperti dodol, kuih-muih dan pelbagai lauk tetapi pada zaman moden ini makan tradisional tidak dilupakan tetapi pelbagai makanan moden ala barat terdapat dalam masyarakat. Ini menyebabkan perlunya laras resepi sebagai panduan masyarakat untuk menyediakan makanan tersebut. Selain itu, alat-alat yang digunakan untuk memasak kini lebih canggih kerana untuk menyediakan makanan-makanan moden alat-alat resepi tradisional kurang sesuai. Kalau dulu periuk, belanga dan kuali sudah memadai untuk menyediakan pelbagai resepi tetapi kini alat-alat canggih seperti oven, alat-alat timbangan dan sebagainya merupakan keperluan utama yang perlu ada pada seseorang tukang masak. Selain itu, bahan-bahan yang digunakan juga jauh berbeza daripada bahan-bahan yang digunakan pada zaman lampau. Kini terdapat pelbagai jenis bahan seperti sos Kikomann, sos tiram, tuna Maguro dan sebagainya yang boleh didapati di pasar-pasar raya di negara kita. Keadaan ini menyebabkan laras resepi berkembang dari hari ke hari dan semakin banyak terdapat disebabkan keperluan oleh anggota masyarakat di negara kita.

5.0       Analisis Data Resepi
Dalam bahagian ini akan diberikan beberapa contoh data untuk dibuat analisis tentang laras resepi moden seperti di bawah ini.

TOM YAM DENGAN SASHIMI
Bahan-bahan sashimi:
1 hiris tuna Maguro
1 hiris salmon
1 biji kerang Jepun (Japanese clamp)
¼ camca teh telur ikan salmon

Bahan-bahan tom yam:
150 ml minyak sayur
200 g kulit udang
2 liter air rebusan ikan
200 g pes tom yam
80 g pes tomato
200 g bawang besar dihiris
10 helai daun limau purut
15 tangkai serai dititik
8 biji cili padi
8 tangkai akar ketumbar
1 ikat daun ketumbar
100 g lengkuas
5 biji tomato dicincang kasar
10 biji perahan limau nipis
Sedikit sos ikan
Sedikit garam dan serbuk lada sulah
Bahan-bahan hiasan:
4 ekor udang harimau
100 g cendawan batang dibelah dua
50 g cendawan Enoki
Sedikit hirisan daun ketumbar
4 biji cili padi

Cara membuatnya:
1     Panaskan minyak hingga berasap. Goreng kulit udang hingga menjadi merah, alihkan periuk dari api dan sejukkan beberapa minit.
2     Tuangkan air rebusan ikan dan biar mereneh 20 minit. Masukkan semua bahan lain kecuali perahan limau nipis, sos ikan, garam dan serbuk lada sulah. Angkat periuk, biar ia seduh 20 minit, tapis dan sejukkan kuah.
3     Panaskan sedikit minyak dan goreng udang hingga masak. Letak udang ini di dalam mangkuk hidang.
4     Didihkan kembali kuah tadi dan celur kedua-dua jenis cendawan di dalamnya. Angkat dan sendukkan cendawan ke dalam mangkuk udang tadi. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan sebiji cili padi.
5     Apabila kuah mendidih, masukkan perahan limau nipis, sos ikan, garam dan serbuk lada sulah. Tuang kuah di dalam mangkuk hidang tadi. Hidangkan bersama sashimi
                                               
Berdasarkan teks ini akan dibincangkan analisis data berdasarkan teori Ure dan Ellis tentang ciri-ciri keprihalan dan aspek linguistik.

6.0       Ciri-ciri Keprihalan
Dalam situasi luaran, teks ini dihasilkan dalam abad kedua puluh atau lebih tepat lagi dihasilkan oleh masyarakat zaman moden. Ini berlaku kerana teks ini memaparkan perkara-perkara baharu dalam masyarakat, iaitu resepi daripada negara jiran, iaitu Thailand.

Dalam situasi persekitaran, cara penyampaian teks ini adalah melalui tulisan walaupun pada awal kemunculan laras ini disampaikan secara lisan. Laras ini disebarkan dalam media massa tempatan seperti akhbar, majalah-majalah wanita seperti Jelita, Wanita, Nona dan sebaginya. Tujuan utamanya adalah untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu resepi kepada golongan wanita amnya.

Teks ini bersifat formal dan tidak ada unsur peribadi. Keformalan teks ini adalah antara penulis resepi atau tukang masak dengan pembaca atau orang yang bakal memasak. Oleh yang demikian, hubungannya terlalu formal dan tidak menampakkan sebarang bentuk kemesraan.

Bahan teks ini merupakan laras resepi/resipi kerana kandungannya menceritakan penyediaan sejenis resepi yang dinamakan tom yam dengan sashimi. Teks ini memaparkan segala bahan dan langkah-langkah untuk menyediakan resepi ini. Hubungan sosial perlakuan bahasa tidak terdapat teks ini.

7.0       Ciri-ciri Linguistik
Dalam aspek ini tiga perkara menjadi pokok perbincangan, iaitu aspek sintaksis, leksikal dan juga ketenunan. Aspek-aspek ini dibincangkan di bawah ini.

7.1       Aspek Tatabahasa: Dalam aspek tatabahasa, banyak perkara yang boleh diketengahkan. Pertama, kebanyakan ayat yang digunakan dalam teks ini merupakan ayat perintah yang mengalami pelbagai proses. Penggunaan ayat perintah dalam teks ini bertepatan dan bersesuaian sekali memandangkan laras ini bertujuan untuk mengajar seseorang itu menyediakan resepi. Oleh yang demikian, ayat yang paling sesuai ialah ayat perintah supaya segala arahan yang disampaikan kepada pembaca dipatuhi. Sekiranya pembaca tidak mengikuti segala perintah yang disuruh, sudah tentu hasil yang dikehendaki tidak akan menjadi atau resepi yang disediakan kurang memuaskan. Pembaca seolah-olah digerakkan oleh tangan-tangan yang tidak kelihatan untuk membuat pelbagai kerja seperti yang diarahkan. Antara ayat suruhan yang terdapat dalam teks ini adalah seperti yang berikut:

i)          Tuangkan air rebusan ikan dan biar mereneh selama 20 minit.
ii)         Masukkan semua bahan lain kecuali perahan limau nipis, sos ikan, garam dan serbuk lada sulah.
iii)        Didihkan kembali kuah tadi dan celur kedua-dua jenis cendawan di dalamnya.

Ketiga-tiga ayat ini merupakan ayat suruhan yang mengalami peleburan subjek ayat. Peleburan subjek ayat, iaitu diri orang kedua atau orang yang diperintahkan untuk membuat sesuatu, merupakan perkara biasa yang berlaku dalam ayat suruhan atau perintah. Oleh yang demikian, subjek ayat tidak dinyatakan dalam laras ini. Perkara utama yang diberikan tumpuan ialah predikat-predikat ayat sahaja kerana mesej utamanya terletak pada bahagian predikat ayat.

Dalam ayat i) predikat-predikat yang membina ayat ini ialah:

a)    Tuangkan air rebusan ikan.
b)    Biar air rebusan ikan.

Ayat tunggal yang ketiga mempunyai subjek dan predikat seperti yang berikut:    
c)    Air rebusan ikan mereneh selama 20 minit.

Dalam ayat a) dan b) ini, subjeknya ialah anda ataupun pembaca dan pembaca sedia maklum bahawa subjek atau pelakunya merupakan orang yang hendak memasak tanpa mengira jantina, umur ataupun latar belakang sosialnya. Dengan erti kata, lain subjek ayat bersifat universal. Apabila subjek ayat ini dimasukkan dalam ayat tersebut, akan terhasil ayat-ayat tunggal seperti yang berikut:

ai) [ Anda ]  [ tuangkan air rebusan ikan ]
      FN                                FK

bi) [ Anda  ]  [ biarkan air rebusan ikan]
       FN                                   FK

ci) [Air rebusan ikan ]  [ mereneh selama 20 minit] 
FN                               FK

Ketiga-tiga ayat tunggal ini bergabung dan mengalami peleburan seperti yang berikut:

Anda tuangkan air rebusan ikan  +  Anda biarkan air rebusan ikan  + Air rebusan ikan mereneh selama 20 minit.

  ↓   tuangkan air rebusan ikan   +        biarkan                           +                          mereneh selama 20 minit.
  Ø                                                     Ø                           Ø                             Ø
         tuangkan air rebusan ikan  +         biarkan                               +                             mereneh selama 20 minit

Tuangkan air rebusan ikan biarkan mereneh selama 20 minit.


Perkara yang sama berlaku pada ayat-ayat ii) dan iii) dalam contoh-contoh yang diberikan. Ini disebabkan salah satu daripada ciri utama ayat perintah ialah pengguguran subjek dan terdapat juga pengaruh bahasa lisan dengan pengguguran imbuhan-imbuhan tertentu dalam ayat. Telah menjadi kelaziman dalam bahasa lisan, penggunaan imbuhan kurang diberikan penekanan tetapi mesej yang diberikan keutamaan dan inilah ciri utama yang terdapat dalam laras resepi ini.

7.2       Aspek Leksikal: Dalam aspek leksikal, terdapat beberapa kata khusus yang digunakan dalam laras ini sebagai penanda laras resepi. Antara kata tersebut ialah:
            hiris
            camca teh
pes
dititik
            dicincang
serbuk lada
            mereneh
            sos ikan
            seduh
            sejukkan kuah
            mangkuk hidangan
            didihkan
            panaskan minyak
            celur
            sendukkan cendawan
            kuah mendidih
           
Kata-kata ini digunakan khusus dalam bidang resepi dan jarang ditemui penggunaannya dalam bidang lain. Kata-kata yang digunakan terbahagi kepada beberapa jenis sama ada kata nama ataupun kata kerja.

Selain kata-kata tersebut, kebanyakan daripada kata kerja yang digunakan dalam laras ini telah mengalami peleburan imbuhan, misalnya:

            memanaskan à  panaskan
            digoreng à  goreng
            dituangkan à   tuangkan
            diletakkan à  letak
            dihias  à  hias 

Kata-kata ini kebanyakannya merupakan kata kerja pasif yang digugurkan imbuhannya apabila menjadi ayat perintah. Dalam teks ini juga tidak terdapat kata-kata istilah khusus kerana laras ini bukan merupakan laras ilmiah. Oleh yang demikian, penggunaan istilah khusus tidak perlu tetapi kata-kata yang digunakan dapat difahami oleh semua orang. Ini berlaku kerana laras resepi adalah untuk semua orang tanpa mengira umur, taraf pendidikan, agama dan sebagainya.
           
7.3       Aspek Ketenunan
Dalam aspek ketenunan, laras ini memperlihatkan unsur ketenunan yang utuh. Laras ini dimulakan dengan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak dan bahan yang tersenarai akan  dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu bahan untuk sashimi tom yam, bahan untuk hiasan dan diikuti oleh cara-cara menyediakan/menyediakan resepi tersebut. Setiap bahan diberikan kuantiti yang dikehendaki serta berat timbangan yang perlu. Dalam bahagian cara membuat resepi, ketenunan jelas tergambar kerana setiap proses penyediaan makanan ditandai oleh angka 1, 2, 3, 4 dan 5. Dengan erti kata lain, seseorang tukang masak mesti mengikuti langkah pertama, kedua dan seterusnya. Sekira tidak diikuti langkah ini, resepi yang dibuat tidak akan menjadi. Dalam hal ini, ketenunan teks tergambar kerana hubungan antara langkah pertama, kedua dan seterusnya. Ketenunan ini jelas tergambar kerana hasil dalam langkah pertama akan menjadi bahan untuk langkah yang kedua serta seterusnya. Unsur ketenunan yang digunakan ialah bentuk pengulangan.

8.0       Kesimpulan
            Laras resepi merupakan suatu laras yang tersendiri dan berlainan daripada laras-laras yang lain. Keunikan laras ini terletak pada jenis ayat yang digunakan, iaitu ayat perintah, dan kata-kata istilah teknikal tidak digunakan kerana laras ini ditujukan untuk semua orang. Sesiapa sahaja boleh memahami laras ini kerana ia bukan laras yang bersifat ilmiah.







         

No comments:

Post a Comment