Kajian Laras Resepi
1.0
Pendahuluan
Laras merupakan konvensi sosial dan sesuatu laras
digunakan untuk sesuatu situasi. Dari aspek yang lain pula, dapat dikatakan
bahawa dengan memilih laras yang berlainan untuk situasi-situasi yang berbeza,
ahli-ahli masyarakat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi
sosial yang berlainan dan wujud di sekitar mereka. Jumlah laras yang wujud
dalam sesebuah masyarakat bahasa menunjukkan bahawa pengalaman bahasa
masyarakat tersebut agak baik. Ini kerana kemunculan laras-laras bahasa adalah
selari dengan kewujudan situasi-situasi
penggunaan bahasa.
Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang
diperkatakan dalam situasi yang berlainan. Akibatnya, akan wujud penggunaan
variasi bahasa yang berbeza-beza tanpa disedari oleh anggota masyarakat.
Perbezaan ini lahir daripada fakta yang bertutur, tajuk yang diperkatakan
ataupun dibincangkan, tujuan perbincangan dan juga suasana atau keadaan
penggunaan bahasa itu sendiri. Dalam konteks bahasa Melayu kini proses
pembinaan dan pengembangannya telah melahirkan sejumlah besar laras sejak zaman
lampau lagi.
Konsep laras telah
mendapat perhatian di kalangan ahli-ahli bahasa, khususnya mereka yang terlibat
dengan kajian sosiolinguistik. Mereka mula menyedari bahawa dalam kajian yang
dilakukan oleh mereka tanpa mengaitkan masyarakat akan mengetepikan beberapa
aspek penting dan menarik
serta mungkin menyempitkan pandangan mereka terhadap bahasa itu sendiri.
Kajian
pertama dilakukan oleh Malinowski (1923) dan seterusnya dikembangkan oleh
Firth. Beliau melakukan kajian di gugusan pulau Pasifik Selatan atau lebih
dikenali sebagai Kepulauan Trobriand. Dalam kajian yang dilakukan, beliau
mendapati bahawa dalam kehidupan ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat, bahasa
menggambarkan perlakuan dan menjelaskan masyarakat serta fungsi-fungsi emotif
kesedaran tentang komunikasi phatik. Beliau juga mendapati bahawa dalam kajian
ini bahasa tidak boleh dilihat dalam bentuk yang terasing daripada konteks
sosial dan kepentingan makna bagi sesyuatu ujaran itu didapati dalam penggunaan
dan kedudukannya.
2.0 Definisi
Laras: Laras
didefinisikan sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam
kehidupan sehari-harian mereka. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya
bergantung pada keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu
berlangsung. Misalnya, dalam sesuatu peristiwa bahasa itu, tentulah pemeran
mempunyai rakan atau orang lain yang diajak bercakap atau lebih dikenali dengan
konsep siapa yang bercakap, tajuk ataupun perkara yang diperkatakan atau
dibincangkan, suasana perbualan itu berlangsung sama ada secara formal atau
tidak formal dan penggunaan medium sama ada secara lisan ataupun tulisan.
Berdasarkan perkara-perkara inilah
beberapa orang pengkaji telah mengemukakan pandangan mereka tentang laras. Nik
Safiah Karim (1982:1) misalnya
menyatakan laras seperti yang berikut:
Laras atau register bermaksud gaya atau cara penggunaan
sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang dipilih daripada
sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Jumlah laras wujud dalam
sesuatu masyarakat kerana kemunculan laras bahasa selari dengan kewujudan
situasi-situasi penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks,
bidang dan peringkat sosial.
Beliau mengaitkan laras dengan pemilihan
bahasa berdasarkan konteks, bidang yang diperkatakan dan juga peringkat sosial.
Menurut beliau lagi, laras sesuatu bahasa yang digunakan itu adalah selari
dengan kewujudan situiasi-situasi penggunaan bahasa.
Menurut Asmah Hj.Omar (1984:92)
pula, laras bahasa adalah kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang,
seperti bidang ilmu dan bidang sosial. Menurut beliau lagi, bahasa yang
digunakan dalam bidang keilmuan tertentu memperlihatkan beberapa perbezaan
daripada bahasa yang digunakan dalam ilmu yang lain. Perbezaan yang wujud
bukanlah perbezaan sistem bahasa tetapi kesukaran wujud dalam pemahaman
konse-konsep yang didukung oleh istilah-istilah tertentu atau khusus yang
digunakan dalam ilmu berkenaan. Beliau
menekankan bahawa laras yang berlainan yang digunakan bukannya pada sistem
bahasa tetapi hanya pada kata-kata tertentu yang digunakan dalam laras.
Seorang
lagi pengkaji tempatan yang menyentuh tentang laras ialah Abdullah Hassan.
Menurut beliau, laras ialah pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan
konteks. Sesuatu laras yang sesuai digunakan adalah pengolahan bahasa yang
baik, ada hubungan antara isi dengan perkara yang diperkatakan dalam laras.
Menurut beliau (1989: 26):
Pemakaian
kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu adalah sesuatu yang
dikatakan laras bahasa. Pemakaian laras bahasa yang sesuai itu adalah dianggap
pengolahan bahasa yang baik. Ada hubungan rapat antara isi, perkara yang
dibincangkan dengan laras bahasa yang digunakan untuk membincangkannya.
Di
kalangan pengkaji-pengkaji barat, banyak sekali konsep dan definisi yang
dikemukakan oleh mereka tentang laras. Laras ataupun register pertama kalinya
telah digunakan oleh Reid (1956) untuk menjelaskan perbezaan perlakuan bahasa
seseorang individu tetapi kajian yang
dilakukan oleh Malinowski dianggap sebagai kajian terawal yang berkaitan dengan
konsep laras bahasa. Ini kerana beliau telah melakukan kajian di gugusan Pulau
Pasifik Selatan, iaitu di Kepuluan Trobrian. Dalam kajian yang dilakukan itu,
beliau telah cuba
menterjemahkan teks-teks dalam bahasa Kiriwinia yang diperoleh daripada
kajiannya itu ke dalam bahasa Inggersi tetapi tidak dapat difahaminya.
Kajian beliau yang berkaitan dengan
ujaran manusia dan hubungannya dengan masyarakat memperlihatkan hubungan antara
ujaran manusia dengan konteks bahasa yang dilafazkan. Kajian beliau penting
dari sudut fungsi bahasa kerana beliau beranggapan bahawa bahasa lebih merupakan pola pelakuan
dan bukannya satu tindak balas berfikir.
Beliau berpendapat bahawa ujaran-ujaran hanya akan bermakna jika
dilafazkan dalam konteks tertentu dan makna bagi sesuatu perkataan akan
ditentukan sendiri oleh konteks ujaran berkenaan. Sekiranya perkataan yang sana digunakan dalam
konteks yang berlainan, maka makna ujaran tersebut juga akan berbeza.
Pendapat Malinowski ini kemudiannya
dikembangkan oleh pengikutnya J.R.Firth yang kemudiannya meluaskan konsep yang
digunakan oleh Malinowski itu. Halliday (1973:49) misalnya, menganggap bahawa
teori keperihalan keadaan ini sebagai suatu titik permulaan bagi kajian bahasa
dan sosial. Ini kerana konsep tersebut merupakan suatu kajian terhadap bentuk
potensi pelakuan manusia dalam sesebuah masyarakat bahasa. Lama-kelamaan kajian
ini akhirnya dikenali sebagai kajian laras bahas ataupun register dan tergolong dalam bidang sosiolinguistik.
Halliday (1968:149) kemudiannya
mendefinisikan laras sebagai variasi bahasa yang berdasarkan fungsi. Menurut
beliau:
Language
varies as its functions varies, it differ is different situation. The name
given to the varietry of language distinguished according to its use is
register.
Quirk
dan Greebaum (1973), dalam membicarakan variasi-variasi bahasa Inggeris pula,
telah menurunkan enam jenis utama (masing-masing dengan subjenisnya pula)
berdasarkan faktor-faktor penentu laras
seperti yang berikut, iaitu daerah, pendidikan dan kedudukan sosial, tajuk yang
diperkatakan, cara penyampaian, sikap dan juga gangguan. Kesemua faktor ini
menghasilkan ciri-ciri tertentu dalam penggunaan bahasa yang memisahkannya
daripada variasi yang lain. Setiap satunya pula mempunyai ciri-ciri tersendiri
dan jenis ataupun variasi golongan terpelajar biasanya mengandungi struktur tersendiri
yang digunakan dalam situasi tertentu dan mencerminkan latar belakang tertentu
pula. Variasi kelas tertentu dalam sesebuah masyarakat, menurut mereka, akan
memperlihatkan penggunaan bahasa yang tidak sama dengan ciri-ciri daripada
golongan yang lain.
Pada tahun 1985 Halliday mengutarakan
pendapat yang menyatakan bahawa dialek dan laras mempunyai perbezaan yang
jelas. Dialek pada dasarnya berbeza dari segi isi manakala laras berbeza dari
segi bentuknya. Ukuran utama sesuatu laras itu dapat dilihat berdasarkan
tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan. Beliau telah menjeniskan
laras bahasa berdasarkan tiga faktor yang utama, iaitu:
a)
tajuk
wacana ( field of discourse)
b)
cara
penyampaian wacana ( mode of discourse)
c)
gaya wacana ( style of discourse)
Pada
dasarnya laras bermaksud bahasa yang dituturkan, yang berubah dan bersesuaian
dengan situasi sosial yang kita hadapi. Sesuatu situasi itu bukan sahaja
membantu bagi menentukan apa yang kita ujarkan malah ia menentukan bentuk
bahasa yang akan kita gunakan. Sesuatu laras itu akan wujud dengan kewujudan
situasi-situasi penggunaan sesuatau bahasa itu.
Berdasarkan
penjelasan beberapa orang tokoh yang mengkaji laras, sama ada pengkaji tempatan
mahupun pengkaji barat, dapat dirumuskan bahawa laras ialah variasi bahasa yang
berbeza-beza bentuk dan penggunaanya. Laras berdasarkan situasi tertentu dan
juga bidang tertentu yang diperkatakan oleh anggota masyarakat.
3.0 Pendekatan
Kajian Laras:
Ramai pengkaji telah melakukan kajian mereka terhadap laras dan telah
mengemukakan pelbagai pandangan dan
pendekatan. Dalam bahagian ini akan dibincang tiga pendekatan yang
sering digunakan dalam kajian laras, iaitu pendekatan yang digunakan oleh
Halliday (1968), Ure dan Ellis (1977) dan Leech dan Short (1981).
a) Pendekatan
Halliday (1968)
Halliday
melihat laras sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh anggota masyarakat
berdasarkan situasi yang berlainan. Menurut beliau apabila sesuatu laras bahasa
itu digunakan, seseorang itu dapat memahami sesuatu fungsi peristiwa bahasa dan
ini menyebabkan bahasa yang digunakan memberi kesan kepada penuturnya. Oleh yang demikian, beliau beranggapan bahawa
kelainan peristiwa bahasa akan menentukan sesuatu laras bahasa yang digunakan
oleh seseorang penutur itu. Beliau telah menyenaraikan tiga aspek yang
berkaitan dengan laras apabila kajian laras dilakukan. Aspek-aspek tersebut
adalah seperti yang berikut:
a)
tajuk
wacana
b)
saluran
c)
gaya wacana
Tajuk
wacana merujuk pada bidang yang sedang diperkatakan ataupun dibincangkan oleh
pemeran. Tajuk merangkumi topik ataupun subjek yang diperkatakan oleh mereka
yang berbual. Berdasarkan tajuk wacana yang dibincangkan, akan dapat dikenal
pasti penggunaan perbendaharaan kata yang digunakan dalam sesuatu perbualan
itu. Aspek kosa kata ataupun perbendaharaan kata merangkumi kata-kata teknikal
ataupun kata-kata umum yang digunakan dalam perbealan tersebut.
Saluran
ialah cara sesuatu mesej itu disampaikan dan merujuk pada bahasa yang digunakan
dalam lakuan bahasa yang mempunyai hubungan dengan peranan yan dimainkan oleh
lakuan bahasa dalam situasi tertentu. Dalam saluran yang digunakan untuk
berinteraksi, saluran boleh berbentuk lisan ataupun bentuk tulisan. Setiap
bentuk ini mempunyai ciri-ciri tertentu untuk menyampaikan sesuatu mesej itu.
Ketiga-tiga
aspek ini menurut Halliday, mempunyai perkaitan dan saling bertindih. Oleh yang
demikian, beliau melihat ciri-ciri laras berdasarkan aspek leksikal dan aspek
tatabahasa.
b) Pendekatan Ure & Ellis (1977)
Mereka
melihat kepentingan peristiwa bahasa sebagai fokus utama dalam kajian sesuatu
laras itu. Menurut mereka setiap penggunaan bahasa memerlukan satu situasi
sosial ataupun peristiwa bahasa. Oleh yang demikian, mereka menamakannya
sebagai ciri-ciri keperihalan dan ciri-ciri linguistik yang wujud dalam
sesuatu penggunaan bahasa itu.
Ciri-ciri keperihalan ialah ciri-ciri luaran yang
terdapat dalam sesuatu peristiwa bahasa dan mereka telah membahagikan ciri
kerihalan ini kepada dua bahagian, iaitu situasi
luaran dan situasi persekitaran.
Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan budaya sesebuah masyarakat
bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup masyarakat
yang menentukan pelakuan anggota masayarakat. Situasi persekitaran pula
mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa
dan, menurut mereka, situasi persekitaran terangkum di dalamnya empat aspek
penting seperti yang berikut:
i)
cara
penyampaian
ii)
hubungan
sosial dan peribadi
iii)
bahan
yang diperkatakan
iv)
fungsi
sosial perlakuan bahasa
Cara penyampaian merujuk pada jenis-jenis
bahasa yang digunakan seperti bentuk lisan, tulisan, isyarat ataupun
sebagainya, pemeran-pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa dan juga
jangka masa yang diambil bagi penggunaan bahasa
itu. Bahasa tulisan misalnya dapat mewujudkan ratusan variasi seperti
laras ucapan, laporan, ilmiah dan sebagainya. Perkara-perkara ini berkaitan
pula dengan faktor-faktor seperti siapa yang menulis, kepada siapa tulisan
tersebut ditulis ataupun ditujukan, dan tulisan tersebut tentang apa. Latar
belakang seseorang penulis juga boleh menyebabkan perbezaan pada cara
penghasilan sesuatu laras itu.
Perhubungan sosial dan
peribadi
ialah hubungan yang wujud antara seseorang pemeran dengan pemeran yang terdapat
dalam sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Dalam hal ini terdapat dua
aspek yang berkaitan, iaitu yang melibatkan hubungan peribadi dan yang keduanya
hubungan yang tidak rasmi ataupun bersifat formal. Dalam hubungan yang bersifat
peribadi akan wujud hubungan mesra antara pemeran-pemeran yang terlibat dalam
peristiwa bahasa itu. Misalnya, peristiwa bahasa yang melibatkan perbualan dua
orang sahabat, sepasang kekasih ataupun antara ahli-ahli keluarga. Perhubungan
yang tidak rasmi ataupun formal tidak akan memperlihatkan kemesraan kerana
terdapat jurang sosial antara kedua-dua pemeran yang terlibat dalam peristiwa
bahasa. Misalnya, hubungan antara penulis akhbar dengan pembaca akhbar, antara
majikan dengan pekerja ataupun antara penulis novel dengan pembaca novel.
Bahan yang diperkatakan ialah isi yang diperkatakan
atau dibincangkan dalam sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Bahan boleh
melibatkan isi-isi yang biasa dalam kehidupan seharian sehinggalah pada
bidang-bidang yang lebih khusus sifatnya seperti bidang sains dan teknologi.
Pendek kata, isi-isi yang diperkatakan dalam peristiwa bahasa merupakan bahan
dalam sesuatu laras. Setiap bahan mempunyai perbezaan yang berlainan antara
satu sama lain dan bergantung pada perkara yang diperkatakan oleh pemeran.
Fungsi sosial perlakuan
bahasa: Dalam bahagian ini terdapat dua perkara
penting yang digabungkan dalam satu frasa seperti yang di atas. Pertama, ialah
frasa fungsi sosial dan yang keduanya
ialah perlakuan bahasa. Kedua-dua
frasa ini mempunyai hubungan yang erat dan saling berkaitan antara satu sama
lain. Fungsi sosial ialah bentuk-bentuk majlis ataupun upacara yang berupa
amalan anggota sesebuah masyarakat dan diiktiraf oleh mereka sebagai penting
dan menjadi amalan budaya hidup masyarakat berkenaan. Misalnya, dalam
masyarakat Melayu majlis perkahwinan merupakan salah satu daripada fungsi
sosial yang menjadi amalan sejak zaman berzaman lagi. Majlis kenduri tersebut
merupakan fungsi sosial dan anggota masyarakat mengiktirafnya sebagai majlis
yang penting. Dalam fungsi sosial tersebut akan terdapat lakuan bahasa yang
menjadi inti utama majlis tersebut, iaitu majlis akad nikah pengantin lelaki.
Dalam majlis tersebut akan wujud lakuan bahasa yang berupa kata-kata yang perlu
dilafazkan oleh pihak yang terlibat dalam pernikahan yang dilakukan.
Dalam
majlis pernikahan, imam ataupun jurunikah akan menggunakan kata-kata yang
sesuai atau lebih dikenali sebagai akad dan pengantin lelaki pula akan
menjawabnya sebagai tanda penerimaan.
Kata-kata yang dituturkan oleh jurunikah dan pengantin lelaki inilah yang
dikatakan sebagai lakuan bahasa. Lakuan bahasa ini hanya berlaku dalam majlis
akad nikah sahaja dan tidak boleh dibuat secara sembarangan sahaja. Oleh yang
demikian, lakuan bahasa hanya akan wujud apabial adanya peristiwa bahasa yang
berlangsung. Setiap lakuan bahasa yang lahir daripada peristiwa bahasa tidak
sama dan bergantung pada jenis peristiwa bahasa yang berlaku.
Aspek
kedua yang diperkatakan oleh Ure & Ellis tentang laras ialah ciri-ciri linguistik dalam laras bahasa.
Menurut mereka tiga aspek penting yang perlu dibincangkan dalam ciri ini ialah
:
a)
aspek
kosa kata
b)
aspek
ayat
c)
aspek
ketenunan
Dalam
aspek kosa kata, perkara utama yang
diberikan tumpuan ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras, sama ada laras
yang diperkatakan itu banyak menggunakan istilah khusus atau istilah umum
ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung. Sekiranya sesuatu laras itu
banyak menggunakan istilah, akan wujud istilah-istilah yang berlainan
berdasarkan bidang yang diperkatakan oleh laras tersebut. Di samping itu,
terdapat juga sesetengah laras yang menggunakan kata-kata pinjaman asing atau
sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata segala aspek yang berkaitan
dengan kata akan dibincangkan untuk membuktikan bahawa sesuatu laras itu menggunakan
kata-kata tertentu yang berbeza daripada laras yang lain.
Dalam
aspek ayat penekanan ialah pada jenis
ayat dan juga binaan ayat yang digunakan dalam sesuatu laras. Sesetengah laras
menggunakan banyak ayat majmuk dan kurang ayat tunggal manakala laras yang lain
pula proses pengguguran, dan
penyongsangan ayat pula berlaku. Oleh itu, dalam aspek ayat segala
perkara yang berkaitan dengan jenis dan binaan ayat akan dibincangkan sebagai
ciri sesuatu laras itu.
Aspek ketenunan ialah keutuhan sesuatu laras
sebagai sebuah teks dan berkaitan dengan
unsur-unsur tertentu yang digunakan oleh pemeran dalam sesuatu laras.
Sesetengah laras mempunyai kesatuan isi yang utuh manakala laras yang lain pula
kurang utuh dari segi jalinan idea yang disampaikan.
c) Pendekatan Leech & Short (1981) : Pendekatan yang digunakan
oleh mereka tidak banyak bezanya dengan pendekatan yang digunakan oleh Ure
& Ellis. Perbezaannya terletak pada bahagian tatabahasa
dan juga leksikal serta tambahan pada bahagian keindahan bahasa yang digunakan
dalam laras. Leech & Short membincangkan empat aspek dalam kajian laras.
Menurut mereka, gaya
persembahan sesebuah laras dilihat sebagai suatu cara untuk membezakan antara
satu laras dengan laras yang lain. Dalam kajian mereka tentang laras fiksyen
dalam bahasa Inggeris mereka telah mengemukakan keempat-empat aspek seperti
yang berikut:
i)
tatabahasa
ii)
leksikal
iii)
gaya/keindahan
bahasa
iv)
ketenunan
dan konteks
Aspek
tatabahasa merangkumi aspek sintaksis dan juga morfologi yang dilihat sebagai
satu unsur penggunaan bahasa dalam laras. Unsur penggunaan kata seperti bentuk
kata formal dan tidak formal, kata kata khusus dan kata umum akan diberikan
tumpuan dalam bahagian tatabahasa.
Aspek
leksikal pula ditumpukan pada penggunaan
kata-kata pinjaman serta kewujudan unsur-unsur dialek dalam sesebuah
laras yang dibuat kajian.selain itu mereka juga menyentuh pemilihan diksi dan
istilah yang melibatkan berbagai-bagai jenis makna juga dilakukan.
Leech
& Short melihat aspek ketenunan atau kohesi dan konteks dalam kajian laras
kerana, menurut mereka kedua-dua aspek ini mempunyai perkaitan secara langsung
antara penulis dengan pembaca. Keadaan ini akan mengakibatkan penggunaan laras
yang berbeza-beza. Menurut mereka, kesinambungan dalam bahasa merupakan jalinan
fikiran untuk menjadikan sesuatu laras itu sebagai suatu kesatuan yang utuh
yang dinamakan sebagai kohesi dan koherensi. Penulis boleh mempengaruhi pembaca
dengan mengemukakan aspek kohesi dan konteks yang kukuh dan bersepadu.
Pendekatan pelbagai yang
diutarakan oleh para pengkaji sebenarnya hampir sama sahaja tetapi keterperinciannnya
sahaja yang berlainan. Sesetengah pengkaji menggunakan pendekatan yang mudah
dan bersahaja, tetapi yang lain, sebaliknya. Dalam kertas kerja ini pendekatan
yang digunakan untuk membincangkan laras resepi adalah berdasarkan pendekatan Ure
dan Ellis, kerana teori yang dikemukakan oleh mereka mencakupi banyak aspek
luaran yang berkaitan dengan teks yang
tidak ada dalam teori pengkaji-pengkaji lain.
4.0 Asal Usul
Laras resepi
Laras resepi merupakan salah satu daripada laras moden yang terdapat kini
tetapi ramai tidak menyedari hakikat kehadiran laras ini dalam masyarakat.
Laras resepi dari segi sejarahnya telah wujud sejak zaman lampau tetapi tidak
dikodifikasikan atau ditulis tetapi hanya disampaikan daripada seorang tukang
masak kepada orang lain. Dalam sesebuah keluarga, ibu akan mewariskan cara-cara
memasak sesuatu jenis resepi kepada anak-anak dan anak-anak pula mewarisinya
dan seterusnya mengajarnya pula kepada generasai yang lain. Secara tidak
langsung laras resepi berkembang dan dalam zaman moden ini pelbagai resepi
moden telah mempengaruhi masyarakat untuk menyediakannya demi keperluan
keluarga ataupun untuk tujuan komersial.
Kelahiran laras resepi pada zaman moden ini bukan sekadar
untuk keperluan keluarga seperti zaman tradisional tetapi terdapat
faktor-faktor lain yang mempengaruhinya, seperti resepi untuk tujuan
perniagaan, seperti di hotel-hotel dan warung-warung serta untuk tujuan-tujuan
lain. Ini telah menyebabkan berlaku pelbagai perubahan pada cara memasak
sesuatu jenis resepi, alat-alat yang digunakan untuk memasak, sukatan ataupun
timbangan terhadap bahan-bahan memasak dan juga bahan-bahan yang digunakan
untuk memasak makanan.
Pada zaman lampau/tradisional, makanan yang disediakan
lebih bersifat kekampungan seperti dodol, kuih-muih dan pelbagai lauk tetapi
pada zaman moden ini makan tradisional tidak dilupakan tetapi pelbagai makanan
moden ala barat terdapat dalam masyarakat. Ini menyebabkan perlunya laras resepi
sebagai panduan masyarakat untuk menyediakan makanan tersebut. Selain itu,
alat-alat yang digunakan untuk memasak kini lebih canggih kerana untuk
menyediakan makanan-makanan moden alat-alat resepi tradisional kurang sesuai.
Kalau dulu periuk, belanga dan kuali sudah memadai untuk menyediakan pelbagai resepi
tetapi kini alat-alat canggih seperti oven, alat-alat timbangan dan sebagainya
merupakan keperluan utama yang perlu ada pada seseorang tukang masak. Selain
itu, bahan-bahan yang digunakan juga jauh berbeza daripada bahan-bahan yang
digunakan pada zaman lampau. Kini terdapat pelbagai jenis bahan seperti sos
Kikomann, sos tiram, tuna Maguro dan sebagainya yang boleh didapati di
pasar-pasar raya di negara kita. Keadaan ini menyebabkan laras resepi
berkembang dari hari ke hari dan semakin banyak terdapat disebabkan keperluan
oleh anggota masyarakat di negara kita.
5.0 Analisis
Data Resepi
Dalam bahagian ini akan diberikan beberapa contoh data
untuk dibuat analisis tentang laras resepi moden seperti di bawah ini.
TOM YAM
DENGAN SASHIMI
Bahan-bahan
sashimi:
1 hiris
tuna Maguro
1 hiris
salmon
1 biji
kerang Jepun (Japanese clamp)
¼ camca
teh telur ikan salmon
Bahan-bahan
tom yam:
150 ml
minyak sayur
200 g
kulit udang
2 liter
air rebusan ikan
200 g pes
tom yam
80 g pes
tomato
200 g
bawang besar dihiris
10 helai
daun limau purut
15
tangkai serai dititik
8 biji
cili padi
8 tangkai
akar ketumbar
1 ikat
daun ketumbar
100 g
lengkuas
5 biji
tomato dicincang kasar
10 biji
perahan limau nipis
Sedikit
sos ikan
Sedikit
garam dan serbuk lada sulah
Bahan-bahan
hiasan:
4 ekor
udang harimau
100 g
cendawan batang dibelah dua
50 g
cendawan Enoki
Sedikit
hirisan daun ketumbar
4 biji
cili padi
Cara
membuatnya:
1
Panaskan minyak hingga berasap. Goreng kulit udang hingga
menjadi merah, alihkan periuk dari api dan sejukkan beberapa minit.
2
Tuangkan air rebusan ikan dan biar mereneh 20 minit.
Masukkan semua bahan lain kecuali perahan limau nipis, sos ikan, garam dan
serbuk lada sulah. Angkat periuk, biar ia seduh 20 minit, tapis dan sejukkan
kuah.
3
Panaskan sedikit minyak dan goreng udang hingga masak.
Letak udang ini di dalam mangkuk hidang.
4
Didihkan kembali kuah tadi dan celur kedua-dua jenis
cendawan di dalamnya. Angkat dan sendukkan cendawan ke dalam mangkuk udang
tadi. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan sebiji cili padi.
5
Apabila kuah mendidih, masukkan perahan limau nipis, sos
ikan, garam dan serbuk lada sulah. Tuang kuah di dalam mangkuk hidang tadi.
Hidangkan bersama sashimi
Berdasarkan teks ini akan dibincangkan analisis data berdasarkan
teori Ure dan Ellis tentang ciri-ciri keprihalan dan aspek linguistik.
6.0 Ciri-ciri
Keprihalan
Dalam situasi
luaran, teks ini dihasilkan dalam abad kedua puluh atau lebih tepat lagi
dihasilkan oleh masyarakat zaman moden. Ini berlaku kerana teks ini memaparkan
perkara-perkara baharu dalam masyarakat, iaitu resepi daripada negara jiran, iaitu
Thailand.
Dalam situasi
persekitaran, cara penyampaian teks ini adalah melalui tulisan walaupun
pada awal kemunculan laras ini disampaikan secara lisan. Laras ini disebarkan
dalam media massa tempatan seperti akhbar, majalah-majalah wanita seperti Jelita, Wanita, Nona dan sebaginya.
Tujuan utamanya adalah untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu resepi kepada
golongan wanita amnya.
Teks ini bersifat formal dan tidak ada unsur peribadi.
Keformalan teks ini adalah antara penulis resepi atau tukang masak dengan
pembaca atau orang yang bakal memasak. Oleh yang demikian, hubungannya terlalu
formal dan tidak menampakkan sebarang bentuk kemesraan.
Bahan teks ini merupakan laras resepi/resipi kerana
kandungannya menceritakan penyediaan sejenis resepi yang dinamakan tom yam
dengan sashimi. Teks ini memaparkan segala bahan dan langkah-langkah untuk
menyediakan resepi ini. Hubungan sosial perlakuan bahasa tidak terdapat teks
ini.
7.0 Ciri-ciri
Linguistik
Dalam aspek ini tiga perkara menjadi pokok perbincangan,
iaitu aspek sintaksis, leksikal dan juga ketenunan. Aspek-aspek ini
dibincangkan di bawah ini.
7.1 Aspek
Tatabahasa: Dalam aspek tatabahasa, banyak perkara yang
boleh diketengahkan. Pertama, kebanyakan ayat yang digunakan dalam teks ini
merupakan ayat perintah yang mengalami pelbagai proses. Penggunaan ayat
perintah dalam teks ini bertepatan dan bersesuaian sekali memandangkan laras
ini bertujuan untuk mengajar seseorang itu menyediakan resepi. Oleh yang
demikian, ayat yang paling sesuai ialah ayat perintah supaya segala arahan yang
disampaikan kepada pembaca dipatuhi. Sekiranya pembaca tidak mengikuti segala
perintah yang disuruh, sudah tentu hasil yang dikehendaki tidak akan menjadi
atau resepi yang disediakan kurang memuaskan. Pembaca seolah-olah digerakkan oleh
tangan-tangan yang tidak kelihatan untuk membuat pelbagai kerja seperti yang
diarahkan. Antara ayat suruhan yang terdapat dalam teks ini adalah seperti yang
berikut:
i) Tuangkan
air rebusan ikan dan biar mereneh selama 20 minit.
ii) Masukkan semua bahan lain kecuali
perahan limau nipis, sos ikan, garam dan serbuk lada sulah.
iii) Didihkan kembali kuah tadi dan celur
kedua-dua jenis cendawan di dalamnya.
Ketiga-tiga ayat ini merupakan ayat suruhan yang mengalami
peleburan subjek ayat. Peleburan subjek ayat, iaitu diri orang kedua atau orang
yang diperintahkan untuk membuat sesuatu, merupakan perkara biasa yang berlaku
dalam ayat suruhan atau perintah. Oleh yang demikian, subjek ayat tidak
dinyatakan dalam laras ini. Perkara utama yang diberikan tumpuan ialah
predikat-predikat ayat sahaja kerana mesej utamanya terletak pada bahagian
predikat ayat.
Dalam ayat i) predikat-predikat yang membina ayat ini
ialah:
a)
Tuangkan air
rebusan ikan.
b)
Biar air rebusan
ikan.
Ayat
tunggal yang ketiga mempunyai subjek dan predikat seperti yang berikut:
c)
Air rebusan ikan mereneh
selama 20 minit.
Dalam ayat a) dan b) ini, subjeknya ialah anda ataupun
pembaca dan pembaca sedia maklum bahawa subjek atau pelakunya merupakan
orang yang hendak memasak tanpa mengira jantina, umur ataupun latar belakang
sosialnya. Dengan erti kata, lain subjek ayat bersifat universal. Apabila
subjek ayat ini dimasukkan dalam ayat tersebut, akan terhasil ayat-ayat tunggal
seperti yang berikut:
ai) [ Anda ] [ tuangkan air rebusan
ikan ]
FN FK
bi) [ Anda ] [ biarkan air rebusan ikan]
FN FK
ci) [Air rebusan
ikan ] [ mereneh selama 20 minit]
FN FK
Ketiga-tiga ayat tunggal ini bergabung dan mengalami
peleburan seperti yang berikut:
Anda tuangkan air rebusan ikan + Anda
biarkan air rebusan ikan + Air rebusan
ikan mereneh selama 20 minit.
↓ tuangkan air rebusan ikan + ↓ biarkan ↓ + ↓ mereneh selama 20
minit.
Ø Ø Ø Ø
tuangkan
air rebusan ikan + biarkan + mereneh selama 20
minit
Tuangkan air rebusan ikan
biarkan mereneh selama 20 minit.
Perkara yang sama berlaku pada ayat-ayat ii) dan iii)
dalam contoh-contoh yang diberikan. Ini disebabkan salah satu daripada ciri
utama ayat perintah ialah pengguguran subjek dan terdapat juga pengaruh bahasa
lisan dengan pengguguran imbuhan-imbuhan tertentu dalam ayat. Telah menjadi
kelaziman dalam bahasa lisan, penggunaan imbuhan kurang diberikan penekanan
tetapi mesej yang diberikan keutamaan dan inilah ciri utama yang terdapat dalam
laras resepi ini.
7.2 Aspek
Leksikal: Dalam aspek leksikal, terdapat beberapa kata
khusus yang digunakan dalam laras ini sebagai penanda laras resepi. Antara kata
tersebut ialah:
hiris
camca teh
pes
dititik
dicincang
serbuk
lada
mereneh
sos ikan
seduh
sejukkan kuah
mangkuk hidangan
didihkan
panaskan minyak
celur
sendukkan cendawan
kuah mendidih
Kata-kata ini digunakan khusus dalam bidang resepi dan
jarang ditemui penggunaannya dalam bidang lain. Kata-kata yang digunakan
terbahagi kepada beberapa jenis sama ada kata nama ataupun kata kerja.
Selain kata-kata tersebut, kebanyakan daripada kata kerja
yang digunakan dalam laras ini telah mengalami peleburan imbuhan, misalnya:
memanaskan
à panaskan
digoreng
à goreng
dituangkan
à tuangkan
diletakkan
à letak
dihias à hias
Kata-kata ini kebanyakannya merupakan kata kerja pasif
yang digugurkan imbuhannya apabila menjadi ayat perintah. Dalam teks ini juga
tidak terdapat kata-kata istilah khusus kerana laras ini bukan merupakan laras
ilmiah. Oleh yang demikian, penggunaan istilah khusus tidak perlu tetapi
kata-kata yang digunakan dapat difahami oleh semua orang. Ini berlaku kerana
laras resepi adalah untuk semua orang tanpa mengira umur, taraf pendidikan,
agama dan sebagainya.
7.3 Aspek
Ketenunan
Dalam aspek
ketenunan, laras ini memperlihatkan unsur ketenunan yang utuh. Laras ini
dimulakan dengan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak dan bahan yang
tersenarai akan dibahagikan kepada tiga
jenis, iaitu bahan untuk sashimi tom yam, bahan untuk hiasan dan diikuti oleh
cara-cara menyediakan/menyediakan resepi tersebut. Setiap bahan diberikan
kuantiti yang dikehendaki serta berat timbangan yang perlu. Dalam bahagian cara
membuat resepi, ketenunan jelas tergambar kerana setiap proses penyediaan
makanan ditandai oleh angka 1, 2, 3, 4 dan 5. Dengan erti kata lain, seseorang
tukang masak mesti mengikuti langkah pertama, kedua dan seterusnya. Sekira
tidak diikuti langkah ini, resepi yang dibuat tidak akan menjadi. Dalam hal ini,
ketenunan teks tergambar kerana hubungan antara langkah pertama, kedua dan
seterusnya. Ketenunan ini jelas tergambar kerana hasil dalam langkah pertama
akan menjadi bahan untuk langkah yang kedua serta seterusnya. Unsur ketenunan
yang digunakan ialah bentuk pengulangan.
8.0 Kesimpulan
Laras resepi merupakan suatu
laras yang tersendiri dan berlainan daripada laras-laras yang lain. Keunikan
laras ini terletak pada jenis ayat yang digunakan, iaitu ayat perintah, dan
kata-kata istilah teknikal tidak digunakan kerana laras ini ditujukan untuk
semua orang. Sesiapa sahaja boleh memahami laras ini kerana ia bukan laras yang
bersifat ilmiah.